TMJ menggesa pihak ASTRO, untuk mengadakan sesi siaran langsung di televisyen bersama YB Khairy, wakil dari FAM, Dato Ong Kim Swee, Lim Teong Kim, Sathia dan beliau sendiri.



Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut mengenai isu berkaitan apa yang saya tulis kepada YB Khairy Jamaludin tentang apa dan siapa yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan bolasepak kita. Saya menggesa pihak ASTRO, untuk mengadakan sesi siaran langsung di televisyen bersama YB Khairy, wakil dari FAM, Dato Ong Kim Swee, Lim Teong Kim, Sathia dan saya sendiri untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bolasepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan. Juga dalam program ini, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka mahu.
Ayuh lakukannya untuk penyokong bolasepak kita. Suara mereka perlu menjadi keutamaan kerana kita berkhidmat kepada mereka dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran tentang apa masalah sebenar yang dihadapi oleh bolasepak Malaysia. Saya individu yang telus dan jujur. Ini adalah satu cabaran daripada saya. Saya bukan ahli politik dan saya tidak memerlukan sebarang undi. Saya tidak bercadang untuk menjadi Presiden FAM dan seperti yang saya katakan sebelum ini, bolasepak bukan sumber pendapatan saya. Jadi mengapa saya hendak lakukannya? Saya lakukan ini kerana saya sudah penat dan bosan dengan pembohongan dan perkara-perkara yang cuba diselindungkan. Sebagai putera diraja Rakyat, suara rakyat perlu didengari dan suara mereka adalah keutamaan saya.
Lihat, saya setuju bahawa mereka kurang berkualiti. Tetapi kenyataan saya adalah siapa yang bersalah? Saya adalah seorang anggota tentera dan saya dilatih untuk menggalas tanggungjawab. Jika mana-mana anggota tentera kita tidak layak untuk menjalankan tugas mereka, siapakah yang bersalah? Ia adalah kesalahan kita. Ia bermaksud bahawa sistem yang kita gunakan adalah salah dan kita tidak melatih mereka dengan baik. Kita sebenarnya yang perlu bertanggungjawab. Jadi sekarang saya bertanya soalan yang sama. Jika pemain bola sepak kita kurang kualiti, siapa yang bersalah? Ia adalah sistem dalam persatuan bolasepak dan latihan dari jurulatih kita. Ianya mudah.
Dalam keadaan ini, tentera tidak boleh dipersalahkan. Ianya sentiasa adalah pemberi arahan. Begitu juga dengan pemain bolasepak. Mereka tidak salah. Ia adalah kita sebagai persatuan bolasepak dan jurulatih yang patut dipersalahkan. Kualiti pemain bolasepak pada penghujungnya adalah bergantung kepada didikan dan latihan mereka. Sama dengan mana-mana anggota tentera. Jadi hujah saya ialah, kita tidak perlu mengeluarkan kenyataan menyalahkan pemain. Sebaliknya, kita sebagai orang-orang besar dalam kelab, bolasepak, persatuan dan jurulatih perlu bertanggungjawab dan meletakkannya sebagai kesalahan kita. Ianya dipanggil memikul tanggungjawab, dan bukan hanya sentiasa melarikan diri, menyalahkan pemain, FAM, persatuan bola sepak dan kelab.
Saya terkejut bahawa FAM dan sekutu lain tidak berminat untuk memperbaiki masalah tersebut dengan mengadakan mesyuarat apabila kita sudah tahu apa masalah sebenar. Itulah sebabnya dalam kenyataan saya ada menyebut tidak ada sesiapa yang benar-benar mengambil berat tentang bolasepak Malaysia kecuali saya. Sama ada anda suka atau tidak, saya akan terus berjuang menentang mana-mana rejim yang korup. Anda sepatutnya berdiri bersama-sama dan menuntut perubahan. Anda tidak boleh mengubah sesuatu yang anda tidak tahu apa masalahnya. Sebab itu saya katakan cara yang terbaik adalah meletakkan saya di televisyen secara langsung supaya seluruh negara boleh tahu apa masalahnya yang sebenar. Cukuplah dengan segala perkara-perkara yang cuba diselindungkan. Jadilah telus.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

credit : 

JOHOR Southern Tigers


EmoticonEmoticon